Friday, June 1, 2012

#3 : Eolienne


Bismillahirrahmanirrahim,


Kental, tegar, lembut, ayu, tegas. Personifikasimu.


Figura dari tanah kelahiran Sarkozy dan Chirac yang sangat menggamit hati (Betul tak tipu). Mesmerize! Pertemuan pertama kita pada tahun 2008 ketika menaiki keretapi bersama 3 bidadari duniaku.


Contrôleur memperkenalkan namamu. Bersungguh dia mengajar kami cara sebutan yang betul. Terbelit lidah. Unik. Membuatkan hati dan fikiran ini tak mampu melupakanmu. Putih bersih warnamu, menjulang ke langit tinggimu, halus mulus bilah sayapmu, lembut mempesona putaranmu. Zaadutmu angin, makhluk istimewa yang sentiasa patuh arahan Sang Kholiq. Medan amalmu; menjana kuasa elektrik dari kuasa alam semulajadi yang satu ini.


Pelik. Bagaimana bisa aku menjadi pemuja rahsiamu dalam diam, Eolienne. Tidakkah kau sedar, padamu aku melihat bayangan seorang wanita? Wanita Muslimah, idaman setiap perempuan didunia ini.


Putihmu, melambangkan kesucian seorang muslimah yang dekat dengan Robbnya. Wudhu’, tahajjud, doa yang penuh pengharapan serta rasa khauf dihadapanNya Yang Maha Satu. Seolah-olah bersih dari noda-noda jahiliyah yang dahulu mewarnai dan menyelebungi nafasmu.


Tinggi menjulang tubuhmu, melambangkan kekuatan dan ketabahan yang kau miliki. Emosional. Fitrah seorang wanita. Tetapi, Wanita Muslimah itu berbeza. Mampu menyerap hentakan-hentakan padu Sang Hitam, dari pelbagai sudut orientasi dan mehnah yang tak pernah letih bertandang
menerobos ruang hatimu yang lembut itu. Dari mana datangnya kekuatan dan ketabahan itu wahai Muslimah? Dari bacaan tilawatul Quran mu yang tak pernah putus, juga dari kesetiaanmu dalam melaksanakan solat diawal waktu.


Kebenaran kalimah yang kau junjung dan bawa bersama setiap detik, membuatkan semua yang cuba memandangmu tertunduk malu. Hormat pada Muslimah yang tegar menegakkan kalimah Al-Aziz dimuka bumi ini.


Bilahmu tajam dan halus, seintonasi dengan bait-bait kata yang kau lontarkan dengan penuh kasih sayang. Kehalusan yang membawa kepada pekanya Wanita Muslimah itu terhadap masalah dan keretakan mereka yang berada disekelilingmu. Sensitif. Semakin deras angin medan amalmu yang mendatang, semakin ligat kau berputar, demi memastikan penerusan penjanaan tenaga sentiasa berlaku. Tidak pernah kau patah, walau bilahmu halus dan runcing walau kelukaan acapkali kau alaminya. Tercalar. Tapi, itulah zaadutmu. Tak pernah walau sekali, kau berputar melawan arah yang telah ditetapkan kepadamu walau terkadang angin yang menderu itu memang menggoyahkan bilahmu!


Muslimah, lihatlah sekelilingmu. Kau tak pernah bersendirian. Eolienne juga tak pernah dibina berseorangan dalam menjana angin, menjadi satu tenaga kimia yang boleh mengalirkan arus. Kau mempunyai ikatan ukhuwwah yang istimewa. Berbahagialah kerana kau telah dijadikanNya dengan mulia, wa SubhanAllah, Rasul saw junjungan Allah juga memuliakanmu.


Setiap apa yang kau lalui, percayalah Allah swt itu ada. Dia akan tetap ada. Pandanglah ke langit, bila sekelilingmu terasa menyesakkan. Lantas, akan kau lihat langit tersenyum padamu, hujan juga turun demi menyampaikan rahmatNya padamu. Kerana itulah, éolienne dibina secara menegak, bukan
melintang, kerana kekuatan Muslimah itu, ada pada hubungan ‘vertical’ nya dengan Allah swt.


Alam tidak pernah kecewa dalam mengajar kita untuk sentiasa berbalik kepada fitrah asal kita. Jangan lelah melihat, jangan lelah mendengar, jangan lelah mencari. Kerana disebalik alam yang terbentang, tersembunyi pelbagai khazinatul asrar. Manfaatkanlah waktumu.


Ah, cuti musim panas tiba lagi. Selamat bercuti dan mentadabbur! =)


Maka apakah mereka tidak melihat akan langit yang ada di atas mereka, bagaimana Kami
meninggikannya dan menghiasinya dan langit itu tidak mempunyai retak-retak sedikitpun (6)
Dan Kami hamparkan bumi itu dan Kami letakkan padanya gunung-gunung yang kokoh dan Kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang mata, 
(7) 
untuk menjadi pelajaran dan peringatan bagi tiap-tiap hamba yang kembali [mengingatAllah]. 
(8)

#2 : janji


Bismillahirrahmanirrahim,
AKU KENA CEKAP….
Sebagai daei
Sebagai aktivis dakwah
Sebagai anak
Sebagai kakak
Sebagai saudara mara
Sebagai jiran
Sebagai pekerja
Sebagai kawan
Sebagai bakal pelajar
Sebagai bakal isteri
Sebagai bakal menantu
Sebagai bakal ibu
Sebagai bakal majikan
Sebagai dan sebagainya
inshaAllahu ameen.
Robbana la tuzig qulubana ba'da idzhadaitana wahablana min ladunka rohmah, innaka Antal wahhab
Ali Imran [3:8]

#1 : ukhti fillah

Bismillahirrahmanirrahim,

di satu lepas maghrib aku rindu
pada ukhti terkasihku
kukirim pesan padanya
"ukhti, adakah tersisa kata untukku hari ini?"

dia menjawab, "doakan aku ukhti..."
kujawab, "selalu ukhti, insyaAllah. adakah kau pon mendoakan aku?"
"insyaAllah", jawabnya lagi.

aku tersedar telah melupakan sesuatu
lalu bertanya lagi
"adakah permintaan khas,
yang kau ingin aku memohonkannya pada Allah untukmu?"
agak lama dia menjawab persoalan kukali ini.

lalu setelah isya' tertunaikan...
"lembutkan hatiku. ampuni dosaku. perbaiki amalku.
aku merasa hati ini keras. keras sekali."

malam kian larut
menjelang istirehatku
aku mengatakan sesuatu
yang lebih tepat ditelujukan pada diri ku.

"ketika Sa'd ibn Abi Waqas minta didoakan agar doanya mustajab,
Rasulullah bersabda kepadanya, 'bantulah aku hai Sa'd,
dengan memperbaiki makananmu' "

"ketika seorang sahabat lain minta didoakan agar boleh
bersama sang nabi di syurga, baginda bersabda padanya,
'bantulah aku dengan memperbanyak sujud' "

"ukhti sayang, doa aku jauh sekali kualitinya daripada doa sang nabi.
baginda sendiri meminta para sahabat yang didoakan membantu doanya dengan ikhtiar mereka, maka
harapan aku agar ikhtiar kau berlipat-lipat ukhti..."
"betul kan ukhti?"

dengan gerimis, lalu kuhayati firman Allah yang kusampaikan padanya
"beramallah berikhtiarlah, maka allah, rasul dan orang beriman
akan melihat amal kalian"
"teriring doa aku selalu, semangat ukhti!"

diedit khas buat ukhti tersayang dari KERINDUAN oleh Salim A.Fillah



===================
post pertama blog ini dimulakan dengan hadiah puisi yang diberi oleh seorang ukhtiku, murabbiku, teman rapatku.

benar. jauh, tapi saling merasa, saling mendengar. kerana Allah itu ada dan Dia Maha Menyampaikan. setiap rasa pada setiap detik. jazakillahu khoiyran khateera ya ukhti. mungkin kau tidak mengetahui, betapa besarnya nilai puisimu ini kepadaku, disaat diri ini benar-benar memerlukan kata-kata yang boleh memeluk diri dan menghangatkan hati yang kian suram.

semoga dirimu jua senantiasa dilindungi Allah yang maha Esa. setiap saat dalam desah nafasmu, ukhti fillah.

wallahu'alam